Tuesday 3 November 2015

MENGIMBAU SEJARAH BAH BESAR ZAMAN TORI DI PAHANG

Mengimbau Sejarah Bah Besar Zaman Tori di Pahang.
Negeri-negeri Pantai Timur kini sudah memasuki musim tengkujuh atau 'musim pëjur' mengikut dialek rakyat Pahang. Musim pëjur ini umumnya bermula selepas peralihan monsun barat daya kepada monsun timur laut dengan purata jumlah taburan hujan yang turun lebih banyak seawal bulan November, Disember dan Januari khususnya di negeri-negeri Pantai Timur Malaysia.
Negeri Pahang adalah antara kawasan yang kerap dilanda banjir besar atau lebih dikenali dengan panggilan 'boh besor' dalam dialek tempatan. 'Zaman tori' yang dimaksudkan dalam tajuk catatan ini pula lebih mudah difahami sebagai zaman klasik, juga sebutan dalam dialek tempatan.
Menurut rekod sejarah moden, antara boh besor zaman tori yang pernah melanda negeri Pahang adalah pada tahun 1923. Bah yang berlaku pada tahun 1923 ketika itu melibatkan kerosakan yang agak teruk terutama bagi daerah yang berada dalam sepanjang jajaran Sungai Pahang seperti daerah Lipis, Temerloh, Kuantan hingga Pekan.
Tambahan pula, ketika ini, rakyat Pahang masih lagi bergantung kepada sungai sebagai 'pusat ketamadunan', justeru ramailah rakyat Pahang yang menjadi mangsa dalam bah ini, samada menjadi mangsa kematian ketika bah, atau menjadi mangsa yang kehilangan atau kerosakan harta benda pada waktu itu.
Setahun kemudian, iaitu pada tahun 1924, bah sekali lagi sehingga menyebabkan British yang mentadbir Pahang di bawah pentadbiran Negeri-Negeri Bersekutu ketika itu mengalami masalah kekurangan beras yang sangat serius akibat padi-padi paya yang ditanam oleh rakyat Pahang ketika itu telah rosak ditenggelami banjir. Pentadbiran British di Pahang kemudian cuba membeli beras daripada negeri jajahan mereka yang lain dan kemudian mengumpul beras-beras ini di Mentakab sebelum membawa beras-beras ini untuk keperluan rakyat Pahang melalui akses jalan raya ke Pekan.
Dua tahun kemudian, sekali lagi bah besar melanda negeri Pahang. Bah pada tahun 1926 ini antara yang terkenal dalam sejarah kerana bukan bah besar ini bukan sahaja melanda dan merosakkan negeri Pahang dan negeri-negeri Pantai Timur semenanjung Tanah Melayu seperti negeri Kelantan dan Terengganu (Kelantan dan Terengganu pada waktu itu diletak dalam pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu) malah bah besar ini turut melanda Kuala Lumpur, ibu kota pentadbiran utama Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada waktu itu dan juga negeri Perak, sekutu negeri Pahang dalam Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada era ini.
Bah besar pada tahun 1926 yang juga digelar "Bah Merah" (kerana katanya air bah ketika ini berwarna merah) ini menenggelami keseluruhan kota Kuala Lumpur dan menyebabkan rakyat Pahang sendiri berada dalam keadaan kebuluran akibat tanam-tanaman seperti padi yang rosak akibat direndam banjir. Ini terjadi kerana pada waktu ini, rakyat Pahang majoritinya masih mengusahakan sendiri tanaman padi di paya-paya sebagai cara utama dalam mendapatkan beras.
Mengikut mitos juga, dalam bah besar pada tahun 1926 ini, ramai saksi telah melihat antara naga yang terdapat di Sungai Pahang, iaitu Seri Daik telah keluar dari Sungai Tembeling, menghilir menuju ke Kuala Sungai Pahang dan kemudian masuk ke Laut China Selatan.
Tokoh politik dan sasterawan tersohor kelahiran Kampung Bukit Siguntang, Temerloh, iaitu almarhum Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) turut pernah membuat beberapa catatan kisah beliau ketika berhadapan dengan bah besar ini pada waktu itu.
Malah, ketika berkempen dalam pilihanraya umum di Parlimen Temerloh ketika mewakili Barisan Sosialis pada tahun 1959, almarhum Pak Sako secara sinis pernah menyatakan "ya, bukan saja Jepun tu koi yang bawok masuk, boh besor 1926 tu pun koi bawok masuk juge" sebagai satu sindiran kepada segolongan suku Kampar di Temerloh yang cuba melakukan pembunuhan karakter kepada beliau pada waktu itu. Segelintir golongan Kampar di Temerloh telah mengungkit dengan pertuduhan yang kononnya almarhum Pak Sako lah yang membawa masuk penjajah fasis Jepun ke Tanah Melayu pada era Perang Dunia Kedua dahulu.
Bah besar kemudian juga pernah berlaku selepas era penjajahan fasis Jepun. Namun, bah yang berlaku pada tahun 1946 itu dikatakan tidaklah sebesar yang pernah berlaku pada tahun 1926 ini.
Bah yang tercatat seterusnya melanda negeri Pahang adalah bah besar yang melanda pada musim tengkujuh tahun 1970. Setahun kemudian, bah besar kembali melanda pada tahun 1971. Kedua-dua bah besar yang melanda pada awal 1970an ini kemudian banyak mengubah landskap sosial, ekonomi, dan politik di negeri Pahang kemudiannya.
Bah pada tahun 1971 ini melanda negeri Pahang pada awal bulan Januari pada waktu itu. Bukan setakat negeri Pahang sahaja, malah 50% bandaraya Kuala Lumpur pada waktu ini teruk ditenggelami banjir, selain Sabah dan Sarawak turut menerima hujan lebat tiada henti sehingga Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, iaitu almarhum Tun Abdul Razak terpaksa mengisytiharkan Darurat selain menubuhkan dua jawatankuasa Kabinet yang berperanan memberi bantuan dan melaksanakan pemulihan banjir pada waktu itu.
Daerah Pekan, Pahang yang diwakili Tun Razak sendiri pada waktu itu adalah antara daerah yang teruk terkena tempias banjir pada tahun ini. Dikatakan pada waktu ini, hujan lebat yang tidak henti-henti selama satu minggu antara faktor utama yang mendorong bah terburuk dalam sejarah negara ini.
Malah, cerita mitos mengenai naga turut tersebar pada bah tahun 1971 apabila bah tersebut berlaku dikatakan untuk mempersiapkan naga dari Gunung Tahan turun keluar melalui Sungai Jelai menuju ke Kuala Sungai Pahang, di Pekan. Sehingga kini, dikatakan di suatu kawasan bertanjung yang bermuarakan Sungai Pahang di Kampung Kerambit, Kuala Lipis, terdapat lekuk yang berbentuk seperti huruf 'S', kesan daripada laluan naga yang pernah keluar menghilir ke Sungai Pahang pada bah tahun itu.
Rujukan dan diubahsuai dari :
1) Jabatan Meteorologi Malaysia
2) Tradisi Persejarahan Pahang Darul Makmur 1800-1930 (Pahang Daily Online)
3) Mengimbau Bah Besar 1926, 1971 (Utusan Malaysia)
4) Memoir Pak Sako: Putera Gunung Tahan (1996)
5) Cerita lisan orang-orang tua mengenai naga di Sungai Pahang.